SEMALAM MENAHAN LAPAR DEMI MENGHORMATI TAMU



Seorang telah datang menemui Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam dan telah menceritakan kepada Baginda shallallahu alaihi wa sallam tentang kelaparan yang dialami olehnya. Kebetulan pada ketika itu Baginda shallallahu alaihi wa sallam tidak mempunyai suatu apa makanan pun pada diri Baginda shallallahu alaihi wa sallam mahupun di rumahnya sendiri untuk diberikan kepada orang itu. Baginda shallallahu alaihi wa sallam kemudian bertanya kepada para sahabat,"Adakah sesiapa di antara kamu yang sanggup melayani orang ini sebagai tetamunya pada malam ini bagi pihak aku?" Seorang dari kaum Ansar telah menyahut, "Wahai Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam, saya sanggup melakukan seperti kehendak tuan itu."

Orang Ansar itu pun telah membawa orang tadi ke rumahnya dan menerangkan pula kepada isterinya seraya berkata, "Lihatlah bahawa orang ini ialah tetamu Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam Kita mesti melayaninya dengan sebaik-baik layanan mengikut segala kesanggupan yang ada pada diri kita dan semasa melakukan demikian janganlah kita tinggalkan sesuatu makanan pun yang ada di rumah kita." Lalu isterinya menjawab, "Demi Allah! Sebenarnya daku tidak ada menyimpan sebarang makanan pun, yang ada cuma sedikit, itu hanya mencukupi untuk makanan anak-anak kita di rumah ini ?"

Orang Ansar itu pun berkata, "Kalau begitu engkau tidurkanlah mereka dahulu (anak-anaknya) tanpa memberi makanan kepada mereka. Apabila saya duduk berbual-bual dengan tetamu ini di samping jamuan makan yang sedikit ini, dan apabila kami mulai makan engkau padamlah lampu itu, sambil berpura-pura hendak membetulkannya kembali supaya tetamu itu tidak akan ketahui bahawa saya tidak makan bersama-samanya." Rencana itu  berjalan dengan lancar dan seluruh keluarga tersebut termasuk anak-anak itu sendiri terpaksa menahan lapar semata-mata untuk membiarkan tamu itu makan sehingga merasa kenyang. Berkaitan dengan peristiwa itu, Allah subhanahu wa ta'ala telah berfirman yang artimya, "Dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin) atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka berada dalam kesusahan." (Al-Hasy : 9)

Artikel by Kisah Rasulullah Bersama Sahabat
Ditulis kembali oleh Admin Pelita Hidayah 

0 Response to "SEMALAM MENAHAN LAPAR DEMI MENGHORMATI TAMU"

Post a Comment

Jadilah yang pertama dalam berkomentar

loading...